Monday 2 April 2012

INGINKAN TUHAN ADALAH NALURI TERINDAH

Inginkan Tuhan Adalah Naluri Terindah.

Sebahagian pengkaji Barat menamakan pencarian kepada Tuhan sebagai aktiviti otak yang tercipta secara semula jadi. Mereka mengandaikan bahawa ia adalah god spot dalam siratan neuron manusia maka dengannya manusia tidak puas-puas mencari kebenaran. Dalam bahasa kita ia disebut fitrah. Mari kita melihat kewajarannya :

Kisah 1

Firaun adalah antara manusia yang paling keliru di planet bumi kerana pernah mendakwa bahawa dia Tuhan! Merasakan dirinya memiliki kekuasaan, dia sudah layak untuk ditabal sebagai Tuhan Maha Tinggi. Firaun kemudian melaksanakan keyakinannya itu dalam hidup sehariannya. Hasilnya bukan kebaikan tetapi kezaliman yang tidak terperi.

Kita tentu tertanya tanya tentang fitrahnya atau di manakah fungsi god spotnya?. Untuk memahami sesuatu drama itu kita perlu menyaksikan sehingga cerita ini tamat. Ini yang berlaku dalam mencari kaitan antara firaun dan fitrahnya.

Ketika dia berada di dasar laut merah, kakinya memijak karang sedangkan permukaan laut pula begitu jauh dari kepalanya, dia sedang berada di dasar laut! Dalam lonjakan dan bergelut untuk bernafas mendapatkan udara, firaun baru sedar siapa dirinya. Saat itulah dia berkata ”Aku beriman dengan Tuhan Musa dan Harun…”

Akhirnya firaun menemui ajal dengan mati lemas. Dia tumpas dengan air yang tak sempat dikuasainya!..Malang bagi firaun kerana menyedari perkara paling penting hanya pada saat-saat terakhir dalam hidupnya. Baru hari itu dia melayan apa yang dibisikkan oleh fitrahnya.

Kisah 2

Kisah ini tentang lelaki komunis melayu pertama. Dia dengan penuh angkuh mengisytiharkan agar dikumpulkan semua mashaf yang berada di dalam rumah orang Islam dan diberikan kepadanya. Dia mahu jadikan helaian Al Qur’an sebagai kertas pencuci najis! Alangkah angkuh bicara ini. Faham Komunis yang menganggap agama ialah candu menguasai pemikirannya lalu membentuk keangkuhan melampau.

Sekali lagi kita perlu menunggu sehingga penamat untuk memhami sesuatu drama. Ketika lelaki ini sedang nazak di pembaringan, rakan-rakan yang menziarahinya terkejut besar kerana apabila mereka mengangkat tubuh lemah ini, mereka menemui ada senaskhah Al Qur’an di bawah bantal, betul-betul di bawah kepalanya. Ketika ditanya kepada isterinya, dia hanya menjawab bahawa itu permintaan suaminya. Hairan bukan? Tetapi itulah kuasa fitrah manusia yang sering cuba ingkar.

Dua kisah manusia ekstrem yang menolak Tuhan di atas sudah cukup bagi kita mendapat gambaran tentang kedudukan Tuhan dalam diri manusia. Rasulullah setiap kali bangun daripada tidurnya akan membacakan ayat Allah yang bermaksud :

”Sesungguhnya pada penciaptaan langit dan bumi perselisihan antara malam dan siang, ada tanda bagi mereka yang mempunyai mata hati….”

Dengan memperbanding alam keliling kemudian merangsang minda secara fitrah, ia akan membawa kita kepada menyaksikan kebesaran dan keagungan Tuhan. Masakan tidak, apabila kita lihat bumi yang berputar melawan pusingan jam tanpa henti dengan kelajuan sekata 3340 km/jam tidakkah kita berfikir siapa penguasanya? Pada masa yang sama bumi di atas orbit yang kukuh berputar melawan pusingan jam dengan kelajuan 108,000 km/jam. Sekali lagi tidakkah kita terfikir tentang kuasa yang mengurus selia semua ini?

Seorang pelumba F1 yang memecut kereta lumbanya pada kelajuan 320 km/jam dan berjaya menaiki podium sebagai seorang juara, kita memberikan tepukan berdiri penuh rasa kagum dan hormat… Alangkah tidak adilnya kita…Dengan sedikit kehebatan manusia kita rasa kagum tetapi dengan kemuncak kehebatan Tuhan kita membutakan mata!

Marilah kita buat sesuatu yang sejajar dengan fitrah. Bukan memeranginya, kita hakikatnya memerangi dalaman diri kita sendiri. Kita berada diantara dua tempat gelap :Pertama rahim ibu, kedua kubur. Sinarilah hidup ini dengan kebaikan nescaya kegelapan kedua dilimpahi cahaya.

No comments:

Post a Comment